Sudah tentu ada sebabnya mengapa kita dicipta oleh Tuhan, begitu juga penciptaan makhluk lain. Masing-masing mempunyai sebab dan tujuan disamping memainkan peranan yang tersendiri. Tumbuhan contohnya, selain untuk makanan manusia, ia juga mengeluarkan oksigen untuk kegunaan kita.
Binatang, selain untuk kegunaan manusia, ia juga merupakan aset terpenting bagi mengimbangi sistem ekologi alam. Jadi secara amnya boleh kita katakan disini adalah Tuhan tidak ciptakan kita tanpa tujuan. Maka sudah pasti apa sahaja yang Tuhan jadikan di atas muka bumi ini ada sebabnya.
Malah yang lebih malang lagi, ada yang sudah menjangkau usia 40-an pun masih belum mengetahui faktor manusia itu diciptakan:
Pastikan apa matlamat hidup anda.
Redha & Berkat
Apa yang dapat disimpulkan bahawa, kita hidup di atas bumi yang nyata dan fana ini adalah mencari redha dan berkat.
Persoalannya sekarang, bagaimanakah caranya kita mencari redha? Jawapan yang cukup mudah dan saya yakin kita semua mampu melakukannya. Jawapannya adalah, apabila ibubapa redha kepada kita, nescaya Tuhan akan redha ke atas kita. Itu adalah cara yang paling mudah untuk mencari redha.
”Redha Tuhan terletak pada redha ibu bapa” – Hadith
Bagaimana pula dengan berkat? Bila adanya redha, pasti dengan sendirinya berkat itu akan datang jua. Ia datang tanpa diundang. Berkat juga merupakan sesuatu yang abstrak. Ia tidak boleh dilihat tetapi boleh dirasa, bukan dirasa melalui pancaindera tetapi melalui hati naluri, umpama kata pepatah hanya jauhari yang mengenal manikam.
Bagaimana untuk kita mengetahui adakah kehidupan di bawah cahaya keberkatan. Pertama, cuba kita perhatikan keadaan di sekeliling, pernah atau tidak kita lihat sebuah keluarga yang hidupnya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, wang belanja tidak cukup tetapi mampu untuk menghantar semua anak-anaknya ke sekolah dan akhirnya berjaya.
Perasan atau tidak, sebuah keluarga yang sederhana, belanja sekadar cukup makan, tetapi hidup dalam keadaan harmoni, aman sejahtera dan hormat menghormati sesama adik beradik
Hidup Tenang, Jiwa Tenteram
Apa sahaja yang dilakukan oleh mereka ini seolah-olah mencukupi. Kurang pun tidak, lebih pun tidak. Hidup rasa tenang, jiwa pun rasa tenteram. Dalam adik beradik sepakat, hidup dalam keadaan muafakat.
Itulah contohnya bila kita hidup dalam keberkatan. Tidak memerlukan duit yang banyak untuk berkat. Tidak perlu rumah yang mewah. Tidak perlu kereta yang besar. Apa yang perlu hanyalah rezeki yang halal, hindari maksiat, istiqamah beribadat, berbuat baik kepada ibu bapa, rasa cukup dengan apa yang ada (bersederhana) eratkan silaturahim, ia termasuk dalam konsep keberkatan.
Kedua, kita perhatikan sekali lagi keadaan di sekeliling kita, ada orang yang berduit banyak, tetapi hatinya tidak tenang, risau duitnya itu disamun. Selain itu, ada orang yang rumahnya mewah tetapi jiwanya tidak tenteram.
Ada juga orang yang keretanya besar tetapi seringkali mengalami kemalangan, dan ada orang yang mempunyai anak tetapi anaknya menjadi duri dalam daging kepadanya sendiri.
Tambahan pula ada orang yang berumahtangga tetapi asyik bergaduh suami isteri, anak-anak tidak muafakat, bergaduh sesama saudara mara. Rasa tidak cukup dengan apa yang dimiliki sedangkan harta bertimbun, rumah bertingkat-tingkat, kereta bersusun, projek berjuta dan berbagai lagi harta dunia.
Ini adalah beberapa contoh mereka yang tidak berkat dalam hidupnya. Bandingkanlah yang pertama dengan yang kedua. Gunakan akal yang waras dan iman yang tulus dalam membuat penilaian. Saya yakin anda mampu menilainya.
Biodata Penulis
Amir Azros merupakan seorang Pendidik, Usahawan Internet dan Penulis. Beliau telah menerbitkan beberapa Ebook dan Artikel di Blog Founder Inspirasi. Beliau juga merupakan salah seorang Tenaga Pengajar dalam Bengkel Master Inspirasi yang dianjur oleh Inspirasi IM. Kini beliau dalam proses menyiapkan beberapa manuskrip untuk dijadikan buku.
No comments:
Post a Comment