Keghairahan untuk memulakan bisnes meletakkan seseorang usahawan dalam keadaan tidak bersedia. Bukan kerana tiadanya perancangan atau ilmu yang mencukupi. Tetapi dek tiadanya persiapan yang mencukupi untuk menghadapi beberapa tahun yang akan ditempuh sebagai usahawan.
Rata-rata usahawan yang baru berjinak-jinak dengan dunia perniagaan hanya bertumpu kepada pembangunan produk. Ia merupakan kesilapan lazim yang dilakukan. Bukan untuk menuduh atau sengaja memburukkan mana-mana usahawan yang baru terjebak dalam bisnes. Sebaliknya ia adalah realiti yang perlu diketahui semua orang.
Bisnes Lingkup 3 Tahun Pertama
Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian dalam bisnes, saya mendapati rata-rata usahaniaga yang gagal adalah kerana seseorang usahawan atau pemilik perniagaan tersebut tidak merancang untuk jangkamasa 2 – 3 tahun ke hadapan.
Ini kerana untuk memastikan perniagaan tersebut dapat bertahan selepas lima tahun, perancangan dan persiapan perlu dibuat untuk tempoh lima tahun mendatang.
Strategik planning adalah istilah yang digunakan sekiranya anda mendalami ilmu pengurusan perniagaan di mana-mana institusi pendidikan. Berdasarkan pengalaman, saya memanggilnya perancangan bisnes lima tahun. Kerana usahawan perlu membuat perancangan untuk tempoh 3 – 5 tahun mendatang.
Usahawan yang menjalankan usahaniaga perlu tahu apa yang akan dibuat untuk jangkamasa tersebut. Ini termasuk merancang kewangan syarikat, promosi, pembangunan produk, mewujudkan pelan pemasaran yang komprehensif dan merancang juga untuk memiliki staf dan menyusun struktur pentadbiran dalam usahaniaga yang dijalankan.
Mantapkan Struktur Dalaman
Memiliki sebuah perusahaan tidak bermakna anda menjadi seperti seorang ‘pemerintah’ yang hanya mengarah-arah dari meja anda. Ia adalah kerja berpasukan yang anda, rakan kongsi (sekiranya ada) dan staf anda perlu lakukan.
Bermula dari perancangan mengenai pembahagian tugasan kepada diri anda dan rakan kongsi, anda sudah boleh merancang untuk jenis-jenis tugas yang akan diwujudkan dan diserahkan kepada orang lain. Sekiranya anda sudah memiliki staf, anda perlu merancang supaya staf anda dapat menerima tugasan yang diamanahkan dan bersesuaian dengan dirinya.
Tidak mungkin urusan pemasaran diserahkan kepada seseorang yang tidak mempunyai skil komunikasi yang baik.
Selain itu, anda juga perlu merancang supaya gaji para staf anda telah disediakan dan mencukupi untuk sekurang-kurangnya setahun – dua tahun dari anda mula menggaji mereka. Ini bertujuan mengelakkan kesukaran membuat pembayaran gaji ketika jualan syarikat merudum.
Rosak Dalam, Rosak Luar
Tugasan yang diagihkan perlubersesuaian dengan kemahiran yang dimiliki. Tidak boleh diserahkan secara rambang tanpa menimbangkan kesan-kesan yang akan wujud dikemudian hari.
Kekuatan sesebuah usahaniaga adalah berasaskan kepada struktur dalaman, iaitu pihak yang mentadbir dan menguruskan bisnes tersebut. Kelemahan jabatan ini akan mengakibatkan bisnes anda mungkin akan bergerak dengan perlahan atau mungkin juga terus tutup.
Semoga anda sukses selalu
No comments:
Post a Comment