Wednesday, 24 June 2015

Pakdi.net June 14, 2015


5 Tips Mudah Belanja Raya Yang Dapat Mengelakkan Tragedi Hutang Berulang Lagi



sampulduit
Belanja raya.
Ia adalah antara perbelanjaan yang banyak makan duit.
Justeru, perlu ada strategi khusus untuk mengelakkan tragedi berhutang di hari raya. Iaitu raya sehari, tetapi hutang raya habis setahun kemudian.
Berikut adalah kaedah yang tuan dapat buat.
1. Senaraikan perbelanjaan yang perlu dibuat
Sebelum tulis, lihat baju-baju dalam almari dulu misalnya.
Jika ada yang masih cantik, elok dan baru pakai sekali dua, maka tidak lah perlu beli lagi.
Namun, untuk anak-anak, selalunya baju mereka dah tak berapa muat sebab cepat membesar.
Utamakan yang perlu sahaja.
2. Gunakan kaedah sampul
Selepas membuat anggaran perbelanjaan seperti #1, andaikan bajet baju untuk anak-anak adalah RM 500.
Maka, sehari dua sebelum berbelanja, pergi ATM dan keluarkan RM 500 itu siap-siap. Letak dalam sampul-sampul misalnya:
  • Along RM 150.
  • Angah RM 150.
  • Adik RM RM 150.
Dan seterusnya.
3. Tetapkan masa yang selesa
Pilihlah masa yang paling selesa untuk tuan sekeluarga.
Jika berbelanja pada bulan puasa, pilihlah pada waktu pagi (orang yang pertama masuk kedai) atau pada waktu malam.
Beritahu anak kecil sehari sebelum berbelanja, dan ketika sudah mahu keluar dari pintu rumah. Apakah tujuan keluar rumah, berapa lama yang diperlukan, supaya mereka dapat beri kerjasama ketika membeli-belah.
Emosi ibu bapa tak terganggu sebab anak-anak kecil pun tidak berapa nak meragam.
4. Pilih kedai yang menawarkan harga terbaik
Tetapkan lokasi lebih awal.
Bukan ikut hati.
Ada kedai yang menawarkan harga lebih rendah untuk ahli. Ada juga yang menawarkan voucher. Ada kedai yang menawarkan diskaun tak masuk akal.
Sudah macam-macam  cara kedai nak tarik pelanggan.
Kebiasannya, puan-puan lebih mahir bab mencari jualan murah.
5. Tinggalkan kad ATM & kad kredit
Bawa sampul duit sahaja.
Noktah.
.
Maka tragedi hutang raya, yang cuma dapat habis bayar setahun kemudian dapat dielakkan.

by Admin-AOTribe | Jun 19, 2015 | Artikel

10 Rezeki Lebih Di Bulan Ramadhan

10 rezeki bulan ramadhan
Adakah anda berminat untuk mencari sedikit sebanyak pendapatan tambahan sempena Hari Raya yang bakal tiba? Mungkin ketika ini anda tercari-cari perniagaan apa yang sesuai dilakukan dalam masa yang singkat tapi mendatangkan untung yang agak lumayan. Dengan adanya keuntungan dari hasil jualan ini, anda berpeluang gunakannya bagi menampung perbelanjaan sakan di Hari Raya nanti.
Berikut adalah senarai 10 idea perniagaan yang anda boleh lakukan sepanjang bulan puasa sebelum menjelangnya Hari Raya. Kesemua idea perniagaan ini tidak memerlukan modal yang begitu besar dan boleh dilakukan secara kecil-kecilan.
Jika anda merupakan salah seorang dari beribu pelajar program Millionaire Marketing Mastery (MMM), ia pasti mudah bagi anda untuk mendapatkan keuntungan yang tinggi dalam masa yang singkat dengan hanya mengaplikasikan ilmu yang dipelajari. Terdapat beratus teknik pemasaran yang dikongsikan di seminar MMM, takkan satu pun tak mampu menarik pelanggan?
Cuba fikirkan, apakah keperluan pelanggan yang anda boleh sediakan atau produk yang dapat menyelesaikan masalah mereka menjelang bulan Ramadhan dan Raya ini?
#1 Makanan Berbuka & Sahur
Di bulan puasa ini, kebanyakan orang akan mengunjungi bazar Ramadhan bersama keluarga dan kawan-kawan untuk mencari juadah berbuka puasa.  Oleh itu, taktik anda untuk menjual makanan di bazar memainkan peranan yang penting. Pastikan anda menyusun dan menghias makanan anda agar nampak cantik, bersih dan paling penting menyelerakan. Walaupun ramai yang akan berniaga di bazar, cuba anda cari kelainan untuk menarik pelanggan datang ke gerai anda walaupun anda hanya berniaga kuih atau menjual air dengan harga RM1.
#2 Kuih dan Biskut Raya
Ramai di antara golongan ibu kini berkerjaya dan tiada masa atau berkesempatan untuk membuat kuih dan biskut raya sendiri. Mereka lebih suka untuk membeli biskut di kedai, secara online, melalui rakan-rakan sekerja, dari pasaraya atau bazaar Ramadhan. Ini membuka peluang yang amat besar kepada suri rumah dan peniaga yang mengusahakan biskut dan kuih raya.  Untuk memastikan jualan anda laris, pastikan anda memberi sampel untuk orang merasa keenakkan kuih dan biskut anda. Biskut yang sering menjadi kegemaran ramai biasanya biskut coklat dan kekacang rangup. Tapi ramai dari peniaga kini lebih kreatif dengan menghasil kuih dan biskut berbagai perisa, warna, corak dan memberikan penampilan yang sungguh indah untuk dimakan.
Satu lagi bonus adalah menjadi agen kuih Raya dan memasarkan biskut dan kuih Raya dengan mengambil tempahan awal.
#3 Tudung & Hijab
Tudung semakin hari menjadi idaman ramai wanita kerana gaya dan fesyen yang pelbagai di pasaran yang menampilkan wanita penuh dengan keayuan, keanggunan, kecantikkan dan bergaya dengan citarasa yang pelbagai. Sebagai peniaga tudung, anda boleh membeli secara borong dan menjualnya di Internet atau di tempat kerja, kepada saudara-mara atau jiran di kawasan sekitar taman anda.
#4 Baju Raya
Baju raya sudah menjadi sinonim setiap kali menjelang Hari Raya. Ada yang sanggup membeli sehingga 7 helai baju raya untuk dipakaikan sepanjang minggu pertama raya. Kononnya raya setahun sekali dan inilah masanya untuk menunjukkan ketampanan dan kecantikan masing-masing. Jika anda pandai menjahit, anda boleh mengambil tempahan di saat-saat terakhir ini kerana ada yang masih ingin menempah baju tetapi tukang jahitnya tidak lagi menerima tempahan. Tempahan bermula 3 ke 4 bulan awal sebelum bulan puasa. Selain itu, anda juga boleh menyulam manik atau mendekorasi baju dengan renda dan pelbagai jenis bahan jahitan yang dapat mencantikkan dan menyerlahkan keunikkan sesuatu baju dan pemakainya.
#5 Kad Raya
Di zaman Internet di hujung jari ini, ucapan raya boleh dihantar dalam masa beberapa saat sahaja dengan sms, mms dan juga emel. Namun, kad raya yang berbentuk fizikal lebih bermakna jika dihantar kerana penerima boleh menyimpannya atau menggantungnya sebagai hiasan di hari raya. Inilah masa untuk mencari pendapatan sampingan jika anda mempunyai skil grafik designer. Anda boleh memasarkan design anda dan mempromosi custom-design kad raya dengan mengambil tempahan daripada syarikat untuk dihantar kepada pelanggan mereka. Cuba dapatkan harga rendah terbaik dengan syarikat percetakan supaya anda dapat mark-up keuntungan anda.
#6 Sampul Duit Raya
Selain kad raya, sampul duit raya juga mendapat banyak permintaan. Dalam 2 – 3 tahun yang lepas, design sampul yang popular bergambar duit Ringgit Malaysia, Upin & Ipin selain design tradisional dengan unsur Islamik. Kini, ramai meminati design sampul raya yang custom design, elegan, eksklusif, bermotif moden seperti smartphone dan gameboy atau design yang akan memberi persepsi yang pemberinya nampak seperti seorang yang kaya di hari raya nanti.
#7 Hamper Raya
Bulan Ramadhan membuka ruang tempahan untuk Hamper Korporat Ramadhan dan Hari Raya. Anda boleh menawarkan pelbagai pilihan yang menarik mengikut bajet yang bersesuaian dengan pelanggan anda. Anda boleh juga menawarkan potongan harga bagi setiap tempahan dan perkhidmatan penghantaran percuma di kawasan yang berdekatan.
#8 Produk Kesihatan
Beberapa masalah yang biasa dihadapi ketika berpuasa di bulan Ramadhan melibatkan gangguan pencernaan (senak) serta rasa kembung, keletihan, lemah, kekurangan tenaga, pening kepala dan rasa pitam. Berbagai isu atau masalah kesihatan biasa dihadapi dan anda boleh mengatasinya dengan membantu orang untuk berpuasa dengan selesa dan menikmati sepenuhnya faedah kerohanian bulan Ramadhan. Anda boleh mengenalkan makanan tambahan (supplement food) kepada mereka untuk mengimbangi diet seharian mereka.
#9 Rawatan Kecantikan
Wanita dan lelaki hari ini juga tidak ketinggalan kerana sentiasa inginkan imej dan penonjolan diri yang segak dan cantik. Kita inginkan kulit yang halus, cerah dan bersih daripada sebarang bintik hitam dan jerawat terutamanya di bahagian muka. Kelebihannya jika rawatan atau produk kecantikkan itu dapat membantu kita tampil lebih muda. Anda boleh membuat promosi rawatan mencantikkan kulit muka, badan dan rambut untuk membantu pelanggan anda tampil lebih cantik, segak, sihat dan ceria menjelang Aidilfitri. Sekiranya perkhidmatan anda bagus, mereka pasti akan kembali walaupun lepas Raya.
#10 Dekorasi Rumah
Setiap kali sebelum tibanya musim perayaan, pastinya ada ramai di antara kita yang akan mula memperuntukkan bajet untuk menghias ruang kediaman dengan wajah serba baru. Ada yang ingin bertukar perabot baru, langsir baru dan kiranya semuanya mahu baru.
Jika anda pandai menghias dalaman rumah atau ada idea yang sesuai untuk digunakan dalam dekorasi kediaman ketika menjelang Raya, anda boleh memberikan khidmat nasihat atau mengerjakan kerja makeover yang tidak memerlukan belanja yang terlalu besar. Asalkan anda dapat membantu pelanggan anda menghias rumah dengan dekorasi khas Ramadhan yang sangat menyenangkan.
Banyak lagi perniagaan yang boleh dilakukan sepanjang bulan Ramadhan ini yang hanya memerlukan modal rendah untuk memulakannya. Semoga anda mencari peluang yang ada dengan membantu menyelesaikan masalah orang ramai atau memenuhi keperluan pelanggan.
Salam Ramadhan & Selamat Hari Raya

Dr Azizan Osman

Bagaimana Melindungi Kekayaan Berlandaskan Al-Quran

BAGAIMANA MELINDUNGI KEKAYAAN BERLANDASKAN AL-QURAN
Alhamdulillah, Ramadhan datang lagi. Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadratNya atas kesempatan untuk mengaut sebanyak-banyaknya pahala di bulan yang penuh dengan barokah ini. Moga dengan kedatangan Ramadhan kali ini, kita semua mendapat keampunan dan rahmat dari Allah, dan semoga hari yang berlalu lebih baik dari semalam.
Kami ingin berkongsi sebuah kisah yang agung. Sebuah kisah di mana permainan kata-kata dapat mempengaruhi minda dan membangkitkan emosi serta imaginasi yang hebat.
Allah berkata di dalam Surah Ta Ha mafhumnya: Sesungguhnya telah dikurniakan berbagai nikmat bagimu, bahawa engkau tidak akan lapar dalam Syurga itu dan tidak akan bertelanjang. (118) Dan sesungguhnya engkau juga tidak akan dahaga dalam Syurga itu dan tidak akan merasa panas mentari. (119) Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya, dengan berkata: Wahai Adam, mahukah, aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap? (Ta ha 118-120)
Anda boleh lihat bagaimana seorang insan mulia yang bernama Adam ketika berada di dalam kenikmatan syurga, pelbagai tawaran yang telah diberikan untuknya. Allah yang Maha Berkuasa menawarkan dengan 4 tawaran hebat, manakala syaitan hanya menawarkan dengan dua tawaran. Tawaran yang tidak jelas dan tidak pernah dialami oleh Adam. Dipendekkan cerita, Adam memilih untuk menerima tawaran syaitan. Kisah selanjutnya, anda boleh rujuk di dalam tafsir dan terjemahan Al-Quran.
Kembali kepada kisah di atas. Sehebat mana kuasa sebuah kata-kata mampu mempengaruhi minda Adam serta isterinya Hawa. Kenapa ia berlaku?
Tulisan ini bukanlah untuk melemahkan peribadi Adam yang telah terikut akan kemahuan syaitan. Tidak sesekali tidak, tapi kita semua sebagai manusia dan juga anak-anak Adam, sejauh manakah kita mampu berhadapan dengan situasi sebegini andai ia datang menerjah kita.
Kisah generasi terdahulu adalah jambatan untuk kita lalui hari ini. Sebuah jambatan yang kukuh, sempurna dan siap dengan keselesaan melaluinya tanpa sebarang sebab untuk terlencong atau terpesong daripadanya. Mana mungkin kisah mereka tidak boleh diterjemahkan ke dalam siri episod kehidupan kita hari ini?
Sedarkah kita, permainan kata-kata ini seringkali kedengaran sana sini dalam operasi menipu dan mengaut keuntungan secara haram. Antara contoh yang biasa kita dengar, skim cepat kaya, penipuan emel di internet, orang berhutang dan tak bayar dan lain-lain. Ini semuanya merosakkan benteng-benteng kewangan yang selama ini kita usahakan.
Tidak kiralah anda bekerja atau berniaga, selain tujuan kita menyelesaikan masalah manusia lain, kita juga ingin memperolehi dan membina pendapatan. Pendapatan yang dibina bertahun lamanya, mengapakah tidak ramai di kalangan kita merasakan betapa perlunya ia diberikan perlindungan?
Perlunya kekayaan yang kita miliki hari ini diberikan perlindungan supaya ia mengalir dengan selamat kepada generasi yang akan datang. Pentingnya kuasa sebuah sumbangan demi memastikan perjalanan kewangan kita berjalan sekalipun kita dijemput tuhan. Andaikata ditipu oleh permainan kata-kata yang indah, sejauh manakah kesemua di atas dapat disalurkan dengan sempurna?
Masih ramai hari ini ditipu dan terus ditipu. Tidak pernah jelas apakah tawaran yang ditawarkan. Peliknya, ramai yang memilih untuk nampak keuntungan pada rendahnya risiko dan tingginya pulangan. Di manakah logiknya perkara tersebut. Akan tetapi, makin hari makin manusia ditipu dengan kata-kata indah. Di manakah hakikatnya sebuah kehidupan yang tidak akan mati dan sebidang kuasa yang tidak akan lenyap seperti tawaran syaitan!
Tatkala Adam menuruti kehendak syaitan, maka terlucutlah segala kenikmatan dan pakaian syurga yang diperolehi selama ini. Tiada beza dengan mangsa yang ditipu dengan penipuan hari ini. Hilang segala harta pencarian yang dibina bertahun lamanya dan paling menyedihkan, sanggup berhutang pula demi memenuhi habuan sang penipu tersebut. Berganda-ganda teruknya apabila masih menyerahkan duit semata ingin mendapatkan pulangan yang langsung tidak logik dan tiada siapa boleh menasihatinya agar berhenti.
Kita semua keturunan Adam. Kita semua manusia yang secara fitrahnya memiliki kelemahan ini. Sebagai manusia, kita perlu sentiasa sedar dan peka akan kekurangan ini agar tidak mudah terperangkap dengan apa jua yang memukau dan mempersonakan. Ini baru penipuan yang melibatkan kehilangan harta benda, apatah lagi penipuan yang melibatkan hilangnya Aqidah dengan Tuhan? Nauzubillahi min zaalik. Dunia secara umumnya adalah ujian yang berat buat semua. Walaupun sedar dunia menipu, tapi masih lagi membiarkan diri menjadi mangsanya.
Jadi, bagaimana kita boleh melindungi kekayaan?
Semuanya kembali kepada satu kalimah iaitu bersyukur. Adam dan Hawa setiap hari menikmati apa yang Allah S.W.T tawarkan. Manakala datang syaitan menawarkan sesuatu yang luar biasa, belum pernah Adam menikmatinya, sehingga dia terlupa akan segala nikmat yang telah dia miliki selama ini. Keturunan syaitan itu masih wujud dengan menggunakan formula yang sama. Kata-kata indah yang mempersona. Mereka tidak pernah kenal penat lelah mencipta, mengkaji dan memperbaharui teknik penipuan asalkan dapat memperdaya dan menganiaya insan lain.
Mari kita semak balik dan kembali mengenali semula erti sebuah kesyukuran. Golongan yang bersyukur, nescaya Allah akan tambahkan lagi. Golongan yang kufur, nikmat pun tidak ingin untuk mendampingi. Bagi yang pernah mengalami situasi di atas, kembalilah bertaubat seperti mana taubatnya Adam. Moga kita lebih berhati-hati dan sentiasa merujuk pendapat mereka yang lebih berpengalaman dan berilmu sebelum membuat sebarang keputusan terutamanya yang melibatkan kehilangan harta dan sebagainya.
Pasakkan kesyukuran, sebarkan senyuman, moga hidup akan lebih aman. Salam Ramadhan.