Sunday, 16 August 2015

Soalan:
Azizan, bagaimana saya ingin mulakan berniaga secara sampingan sedangkan saya masih bekerja?
Komen saya:
Persepsi setengah orang yang bekerja yang ingin mulakan perniagaan, mereka mesti :-
1/ Berhenti kerja serta merta untuk bisnes full-time - Ini tidak benar
2/ Mesti mulakan dengan modal duit yang besar - Ini tidak benar
3/ Kena ada kedai fizikal - Ini tidak benar
4/ Kena keluarkan produk sendiri- Ini pun tidak benar
5/ Kena mengadap bisnes 24-jam- Ini pun tidak benar.
Jadi, apa yang benar?
1/ Jangan berhenti kerja jika baru nak mula berniaga melainkan anda memang kena buang kerja atau anda memang telah mempunyai simpanan yang cukup untuk "survive" kos sara hidup dan komitmen bulanan anda untuk sekurang-kurangnya 6-bulan sehingga 12-bulan.
2/ Teruskan bekerja sambil buat sedikit "research" apakah produk atau perkhidmatan yang orang perlukan samada di pejabat, di media sosial atau di kejiranan anda.
3/ Mulakan bisnes sampingan anda samada dengan memasarkan produk/perkhidmatan orang lain contoh menjadi ejen/pengedar produk/servis orang lain atau dengan menawarkan perkhidmatan menggunakan bakat, pengalaman, ilmu ataupun kelebihan diri anda. Contoh: Mengajar tuisyen subjek2 yang anda mampu ajar dirumah pada hujung minggu atau perkhidmatan anda ialah menguruskan/menawarkan guru-guru tutor yang anda boleh pasarkan home tuisyen di mana anda tidak perlu mengajar tapi pasarkan perkhidmatan tersebut dan aturkan guru-guru untuk mengajar. Anda akan letakkan harga yuran/jam atau satu subjek dan bayar sebahagiannya kepada guru tuisyen tersebut. Ini contoh #1. Contoh lain ialah anda mungkin bagus dalam bidang pengurusan akaun dan percukaian, maka anda tawarkan perkhidmatan tersebut kepada usahawan-usahawan kecil yang tidak mampu lagi membayar gaji penuh akauntan dan anda caj kadar perkhidmatan yang tidak membebankan. Perkhidmatan mengurut tapak kaki, perkhidmatan gubahan bunga, perkhidmatan tempahan kek adalah contoh-contoh perkhidmatan yang anda boleh jadikan perniagaan permulaan tanpa anda perlu tahu buat tapi anda perlu tahu pasarkan produk atau perkhidmatan tersebut. Contoh lain yang bagus ialah memulakan dengan menjadi perunding takaful, perunding kewangan ataupun Real Estate Negotiator. Tapi pastikan ada disediakan latihan yang bagus.
4/ Mulakan bisnes tanpa kedai. Anda bagus mulakan melalui FB, InstaGram, Twitter dan melalui rakan-rakan dengan gunakan WhatsApp atau SMS dan lain-lain. Gunakan teknologi dan media sosial sebagai alat untuk "buat duit" dan bukan tambah dosa atau perkara sia-sia!
5/ Jangan mulakan bisnes dengan meminjam bank apatah lagi jika jumlahnya besar!

Tuesday, 4 August 2015

Roslan Ab Hamid


NOTA BISNES.Dalam bisnes kita kena faham apa itu jualan. Apa itu perolehan. Apa itu pendapatan kasar. Apa itu pendapatan bersih. Apa itu gaji kita. Apa itu bonus dan dividen. Berapa pula pendapatan bersih bawa pulang.Apa lagi? Andai ini tidak dapat kita sebut jelas, kita kena belajar dan belajar. Ilmu akan membantu membenderangkan minda kita.Kita tidak boleh kata, seseorang itu berpendapatan RM2 juta, andai itu jualan syarikatnya sebulan. Kita kena tahu pula berapa margin kasar. Berapa pula margin bersih.Ilmu kewangan asas seperti Income Statement, Cash Flow dan Balance Sheet mesti dikuasai. Kita mesti boleh membaca dan memahami bahasa bisnes melalaui penekunan kepada angka angka yang tersaji dalam laporan yang dibentangkan oleh akauntan. Ini ilmu semester pertama tahun pertama dala pengajian keusahawanan.Benar, kita pandai menjual. Kita mesti juga pandai menetapkan harga. Kita juga mesti pandai menjana aliran wang tunai. Kita mesti boleh membuat kira kira. Kita mesti mampu melaksanakan audit risiko ringkas terhadap syarikat dan bisnes kita.Saya masih ingat Chairman saya dahulu, selalu kata, "ada 6 langkah tatkala bertindak mahu melaksanakan bisnes- pertama adalah mula menjual, namun lima lagi adalah aspek aspek ilmu perakaunan yang mesti difahami supaya kita tidak tersasar"






Wednesday, 24 June 2015

Pakdi.net June 14, 2015


5 Tips Mudah Belanja Raya Yang Dapat Mengelakkan Tragedi Hutang Berulang Lagi



sampulduit
Belanja raya.
Ia adalah antara perbelanjaan yang banyak makan duit.
Justeru, perlu ada strategi khusus untuk mengelakkan tragedi berhutang di hari raya. Iaitu raya sehari, tetapi hutang raya habis setahun kemudian.
Berikut adalah kaedah yang tuan dapat buat.
1. Senaraikan perbelanjaan yang perlu dibuat
Sebelum tulis, lihat baju-baju dalam almari dulu misalnya.
Jika ada yang masih cantik, elok dan baru pakai sekali dua, maka tidak lah perlu beli lagi.
Namun, untuk anak-anak, selalunya baju mereka dah tak berapa muat sebab cepat membesar.
Utamakan yang perlu sahaja.
2. Gunakan kaedah sampul
Selepas membuat anggaran perbelanjaan seperti #1, andaikan bajet baju untuk anak-anak adalah RM 500.
Maka, sehari dua sebelum berbelanja, pergi ATM dan keluarkan RM 500 itu siap-siap. Letak dalam sampul-sampul misalnya:
  • Along RM 150.
  • Angah RM 150.
  • Adik RM RM 150.
Dan seterusnya.
3. Tetapkan masa yang selesa
Pilihlah masa yang paling selesa untuk tuan sekeluarga.
Jika berbelanja pada bulan puasa, pilihlah pada waktu pagi (orang yang pertama masuk kedai) atau pada waktu malam.
Beritahu anak kecil sehari sebelum berbelanja, dan ketika sudah mahu keluar dari pintu rumah. Apakah tujuan keluar rumah, berapa lama yang diperlukan, supaya mereka dapat beri kerjasama ketika membeli-belah.
Emosi ibu bapa tak terganggu sebab anak-anak kecil pun tidak berapa nak meragam.
4. Pilih kedai yang menawarkan harga terbaik
Tetapkan lokasi lebih awal.
Bukan ikut hati.
Ada kedai yang menawarkan harga lebih rendah untuk ahli. Ada juga yang menawarkan voucher. Ada kedai yang menawarkan diskaun tak masuk akal.
Sudah macam-macam  cara kedai nak tarik pelanggan.
Kebiasannya, puan-puan lebih mahir bab mencari jualan murah.
5. Tinggalkan kad ATM & kad kredit
Bawa sampul duit sahaja.
Noktah.
.
Maka tragedi hutang raya, yang cuma dapat habis bayar setahun kemudian dapat dielakkan.

by Admin-AOTribe | Jun 19, 2015 | Artikel

10 Rezeki Lebih Di Bulan Ramadhan

10 rezeki bulan ramadhan
Adakah anda berminat untuk mencari sedikit sebanyak pendapatan tambahan sempena Hari Raya yang bakal tiba? Mungkin ketika ini anda tercari-cari perniagaan apa yang sesuai dilakukan dalam masa yang singkat tapi mendatangkan untung yang agak lumayan. Dengan adanya keuntungan dari hasil jualan ini, anda berpeluang gunakannya bagi menampung perbelanjaan sakan di Hari Raya nanti.
Berikut adalah senarai 10 idea perniagaan yang anda boleh lakukan sepanjang bulan puasa sebelum menjelangnya Hari Raya. Kesemua idea perniagaan ini tidak memerlukan modal yang begitu besar dan boleh dilakukan secara kecil-kecilan.
Jika anda merupakan salah seorang dari beribu pelajar program Millionaire Marketing Mastery (MMM), ia pasti mudah bagi anda untuk mendapatkan keuntungan yang tinggi dalam masa yang singkat dengan hanya mengaplikasikan ilmu yang dipelajari. Terdapat beratus teknik pemasaran yang dikongsikan di seminar MMM, takkan satu pun tak mampu menarik pelanggan?
Cuba fikirkan, apakah keperluan pelanggan yang anda boleh sediakan atau produk yang dapat menyelesaikan masalah mereka menjelang bulan Ramadhan dan Raya ini?
#1 Makanan Berbuka & Sahur
Di bulan puasa ini, kebanyakan orang akan mengunjungi bazar Ramadhan bersama keluarga dan kawan-kawan untuk mencari juadah berbuka puasa.  Oleh itu, taktik anda untuk menjual makanan di bazar memainkan peranan yang penting. Pastikan anda menyusun dan menghias makanan anda agar nampak cantik, bersih dan paling penting menyelerakan. Walaupun ramai yang akan berniaga di bazar, cuba anda cari kelainan untuk menarik pelanggan datang ke gerai anda walaupun anda hanya berniaga kuih atau menjual air dengan harga RM1.
#2 Kuih dan Biskut Raya
Ramai di antara golongan ibu kini berkerjaya dan tiada masa atau berkesempatan untuk membuat kuih dan biskut raya sendiri. Mereka lebih suka untuk membeli biskut di kedai, secara online, melalui rakan-rakan sekerja, dari pasaraya atau bazaar Ramadhan. Ini membuka peluang yang amat besar kepada suri rumah dan peniaga yang mengusahakan biskut dan kuih raya.  Untuk memastikan jualan anda laris, pastikan anda memberi sampel untuk orang merasa keenakkan kuih dan biskut anda. Biskut yang sering menjadi kegemaran ramai biasanya biskut coklat dan kekacang rangup. Tapi ramai dari peniaga kini lebih kreatif dengan menghasil kuih dan biskut berbagai perisa, warna, corak dan memberikan penampilan yang sungguh indah untuk dimakan.
Satu lagi bonus adalah menjadi agen kuih Raya dan memasarkan biskut dan kuih Raya dengan mengambil tempahan awal.
#3 Tudung & Hijab
Tudung semakin hari menjadi idaman ramai wanita kerana gaya dan fesyen yang pelbagai di pasaran yang menampilkan wanita penuh dengan keayuan, keanggunan, kecantikkan dan bergaya dengan citarasa yang pelbagai. Sebagai peniaga tudung, anda boleh membeli secara borong dan menjualnya di Internet atau di tempat kerja, kepada saudara-mara atau jiran di kawasan sekitar taman anda.
#4 Baju Raya
Baju raya sudah menjadi sinonim setiap kali menjelang Hari Raya. Ada yang sanggup membeli sehingga 7 helai baju raya untuk dipakaikan sepanjang minggu pertama raya. Kononnya raya setahun sekali dan inilah masanya untuk menunjukkan ketampanan dan kecantikan masing-masing. Jika anda pandai menjahit, anda boleh mengambil tempahan di saat-saat terakhir ini kerana ada yang masih ingin menempah baju tetapi tukang jahitnya tidak lagi menerima tempahan. Tempahan bermula 3 ke 4 bulan awal sebelum bulan puasa. Selain itu, anda juga boleh menyulam manik atau mendekorasi baju dengan renda dan pelbagai jenis bahan jahitan yang dapat mencantikkan dan menyerlahkan keunikkan sesuatu baju dan pemakainya.
#5 Kad Raya
Di zaman Internet di hujung jari ini, ucapan raya boleh dihantar dalam masa beberapa saat sahaja dengan sms, mms dan juga emel. Namun, kad raya yang berbentuk fizikal lebih bermakna jika dihantar kerana penerima boleh menyimpannya atau menggantungnya sebagai hiasan di hari raya. Inilah masa untuk mencari pendapatan sampingan jika anda mempunyai skil grafik designer. Anda boleh memasarkan design anda dan mempromosi custom-design kad raya dengan mengambil tempahan daripada syarikat untuk dihantar kepada pelanggan mereka. Cuba dapatkan harga rendah terbaik dengan syarikat percetakan supaya anda dapat mark-up keuntungan anda.
#6 Sampul Duit Raya
Selain kad raya, sampul duit raya juga mendapat banyak permintaan. Dalam 2 – 3 tahun yang lepas, design sampul yang popular bergambar duit Ringgit Malaysia, Upin & Ipin selain design tradisional dengan unsur Islamik. Kini, ramai meminati design sampul raya yang custom design, elegan, eksklusif, bermotif moden seperti smartphone dan gameboy atau design yang akan memberi persepsi yang pemberinya nampak seperti seorang yang kaya di hari raya nanti.
#7 Hamper Raya
Bulan Ramadhan membuka ruang tempahan untuk Hamper Korporat Ramadhan dan Hari Raya. Anda boleh menawarkan pelbagai pilihan yang menarik mengikut bajet yang bersesuaian dengan pelanggan anda. Anda boleh juga menawarkan potongan harga bagi setiap tempahan dan perkhidmatan penghantaran percuma di kawasan yang berdekatan.
#8 Produk Kesihatan
Beberapa masalah yang biasa dihadapi ketika berpuasa di bulan Ramadhan melibatkan gangguan pencernaan (senak) serta rasa kembung, keletihan, lemah, kekurangan tenaga, pening kepala dan rasa pitam. Berbagai isu atau masalah kesihatan biasa dihadapi dan anda boleh mengatasinya dengan membantu orang untuk berpuasa dengan selesa dan menikmati sepenuhnya faedah kerohanian bulan Ramadhan. Anda boleh mengenalkan makanan tambahan (supplement food) kepada mereka untuk mengimbangi diet seharian mereka.
#9 Rawatan Kecantikan
Wanita dan lelaki hari ini juga tidak ketinggalan kerana sentiasa inginkan imej dan penonjolan diri yang segak dan cantik. Kita inginkan kulit yang halus, cerah dan bersih daripada sebarang bintik hitam dan jerawat terutamanya di bahagian muka. Kelebihannya jika rawatan atau produk kecantikkan itu dapat membantu kita tampil lebih muda. Anda boleh membuat promosi rawatan mencantikkan kulit muka, badan dan rambut untuk membantu pelanggan anda tampil lebih cantik, segak, sihat dan ceria menjelang Aidilfitri. Sekiranya perkhidmatan anda bagus, mereka pasti akan kembali walaupun lepas Raya.
#10 Dekorasi Rumah
Setiap kali sebelum tibanya musim perayaan, pastinya ada ramai di antara kita yang akan mula memperuntukkan bajet untuk menghias ruang kediaman dengan wajah serba baru. Ada yang ingin bertukar perabot baru, langsir baru dan kiranya semuanya mahu baru.
Jika anda pandai menghias dalaman rumah atau ada idea yang sesuai untuk digunakan dalam dekorasi kediaman ketika menjelang Raya, anda boleh memberikan khidmat nasihat atau mengerjakan kerja makeover yang tidak memerlukan belanja yang terlalu besar. Asalkan anda dapat membantu pelanggan anda menghias rumah dengan dekorasi khas Ramadhan yang sangat menyenangkan.
Banyak lagi perniagaan yang boleh dilakukan sepanjang bulan Ramadhan ini yang hanya memerlukan modal rendah untuk memulakannya. Semoga anda mencari peluang yang ada dengan membantu menyelesaikan masalah orang ramai atau memenuhi keperluan pelanggan.
Salam Ramadhan & Selamat Hari Raya

Dr Azizan Osman

Bagaimana Melindungi Kekayaan Berlandaskan Al-Quran

BAGAIMANA MELINDUNGI KEKAYAAN BERLANDASKAN AL-QURAN
Alhamdulillah, Ramadhan datang lagi. Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadratNya atas kesempatan untuk mengaut sebanyak-banyaknya pahala di bulan yang penuh dengan barokah ini. Moga dengan kedatangan Ramadhan kali ini, kita semua mendapat keampunan dan rahmat dari Allah, dan semoga hari yang berlalu lebih baik dari semalam.
Kami ingin berkongsi sebuah kisah yang agung. Sebuah kisah di mana permainan kata-kata dapat mempengaruhi minda dan membangkitkan emosi serta imaginasi yang hebat.
Allah berkata di dalam Surah Ta Ha mafhumnya: Sesungguhnya telah dikurniakan berbagai nikmat bagimu, bahawa engkau tidak akan lapar dalam Syurga itu dan tidak akan bertelanjang. (118) Dan sesungguhnya engkau juga tidak akan dahaga dalam Syurga itu dan tidak akan merasa panas mentari. (119) Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya, dengan berkata: Wahai Adam, mahukah, aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap? (Ta ha 118-120)
Anda boleh lihat bagaimana seorang insan mulia yang bernama Adam ketika berada di dalam kenikmatan syurga, pelbagai tawaran yang telah diberikan untuknya. Allah yang Maha Berkuasa menawarkan dengan 4 tawaran hebat, manakala syaitan hanya menawarkan dengan dua tawaran. Tawaran yang tidak jelas dan tidak pernah dialami oleh Adam. Dipendekkan cerita, Adam memilih untuk menerima tawaran syaitan. Kisah selanjutnya, anda boleh rujuk di dalam tafsir dan terjemahan Al-Quran.
Kembali kepada kisah di atas. Sehebat mana kuasa sebuah kata-kata mampu mempengaruhi minda Adam serta isterinya Hawa. Kenapa ia berlaku?
Tulisan ini bukanlah untuk melemahkan peribadi Adam yang telah terikut akan kemahuan syaitan. Tidak sesekali tidak, tapi kita semua sebagai manusia dan juga anak-anak Adam, sejauh manakah kita mampu berhadapan dengan situasi sebegini andai ia datang menerjah kita.
Kisah generasi terdahulu adalah jambatan untuk kita lalui hari ini. Sebuah jambatan yang kukuh, sempurna dan siap dengan keselesaan melaluinya tanpa sebarang sebab untuk terlencong atau terpesong daripadanya. Mana mungkin kisah mereka tidak boleh diterjemahkan ke dalam siri episod kehidupan kita hari ini?
Sedarkah kita, permainan kata-kata ini seringkali kedengaran sana sini dalam operasi menipu dan mengaut keuntungan secara haram. Antara contoh yang biasa kita dengar, skim cepat kaya, penipuan emel di internet, orang berhutang dan tak bayar dan lain-lain. Ini semuanya merosakkan benteng-benteng kewangan yang selama ini kita usahakan.
Tidak kiralah anda bekerja atau berniaga, selain tujuan kita menyelesaikan masalah manusia lain, kita juga ingin memperolehi dan membina pendapatan. Pendapatan yang dibina bertahun lamanya, mengapakah tidak ramai di kalangan kita merasakan betapa perlunya ia diberikan perlindungan?
Perlunya kekayaan yang kita miliki hari ini diberikan perlindungan supaya ia mengalir dengan selamat kepada generasi yang akan datang. Pentingnya kuasa sebuah sumbangan demi memastikan perjalanan kewangan kita berjalan sekalipun kita dijemput tuhan. Andaikata ditipu oleh permainan kata-kata yang indah, sejauh manakah kesemua di atas dapat disalurkan dengan sempurna?
Masih ramai hari ini ditipu dan terus ditipu. Tidak pernah jelas apakah tawaran yang ditawarkan. Peliknya, ramai yang memilih untuk nampak keuntungan pada rendahnya risiko dan tingginya pulangan. Di manakah logiknya perkara tersebut. Akan tetapi, makin hari makin manusia ditipu dengan kata-kata indah. Di manakah hakikatnya sebuah kehidupan yang tidak akan mati dan sebidang kuasa yang tidak akan lenyap seperti tawaran syaitan!
Tatkala Adam menuruti kehendak syaitan, maka terlucutlah segala kenikmatan dan pakaian syurga yang diperolehi selama ini. Tiada beza dengan mangsa yang ditipu dengan penipuan hari ini. Hilang segala harta pencarian yang dibina bertahun lamanya dan paling menyedihkan, sanggup berhutang pula demi memenuhi habuan sang penipu tersebut. Berganda-ganda teruknya apabila masih menyerahkan duit semata ingin mendapatkan pulangan yang langsung tidak logik dan tiada siapa boleh menasihatinya agar berhenti.
Kita semua keturunan Adam. Kita semua manusia yang secara fitrahnya memiliki kelemahan ini. Sebagai manusia, kita perlu sentiasa sedar dan peka akan kekurangan ini agar tidak mudah terperangkap dengan apa jua yang memukau dan mempersonakan. Ini baru penipuan yang melibatkan kehilangan harta benda, apatah lagi penipuan yang melibatkan hilangnya Aqidah dengan Tuhan? Nauzubillahi min zaalik. Dunia secara umumnya adalah ujian yang berat buat semua. Walaupun sedar dunia menipu, tapi masih lagi membiarkan diri menjadi mangsanya.
Jadi, bagaimana kita boleh melindungi kekayaan?
Semuanya kembali kepada satu kalimah iaitu bersyukur. Adam dan Hawa setiap hari menikmati apa yang Allah S.W.T tawarkan. Manakala datang syaitan menawarkan sesuatu yang luar biasa, belum pernah Adam menikmatinya, sehingga dia terlupa akan segala nikmat yang telah dia miliki selama ini. Keturunan syaitan itu masih wujud dengan menggunakan formula yang sama. Kata-kata indah yang mempersona. Mereka tidak pernah kenal penat lelah mencipta, mengkaji dan memperbaharui teknik penipuan asalkan dapat memperdaya dan menganiaya insan lain.
Mari kita semak balik dan kembali mengenali semula erti sebuah kesyukuran. Golongan yang bersyukur, nescaya Allah akan tambahkan lagi. Golongan yang kufur, nikmat pun tidak ingin untuk mendampingi. Bagi yang pernah mengalami situasi di atas, kembalilah bertaubat seperti mana taubatnya Adam. Moga kita lebih berhati-hati dan sentiasa merujuk pendapat mereka yang lebih berpengalaman dan berilmu sebelum membuat sebarang keputusan terutamanya yang melibatkan kehilangan harta dan sebagainya.
Pasakkan kesyukuran, sebarkan senyuman, moga hidup akan lebih aman. Salam Ramadhan.

Sunday, 8 February 2015

Bagaimana Islam Mengajar Kita Menjadi Kaya ?

Bagaimana Islam Mengajar Kita Menjadi Kaya ?

Yusuf menjawab, “Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu tuai simpanlah bersama tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan. 
(Surah Yusuf: 47)
Islam ada menunjukkan cara-cara menjadi kaya.
Ia terkandung dalam surah Yusuf, dalam kisah mimpi Raja Mesir.
Prinsip ini telah ada  sejak 3,000 tahun yang lalu dan masih releven sehingga hari ini. Kemudian, Al-Quran telah mencatat kisah ini dalam surah Yusuf dalam kisah mengenai Mimpi Raja Mesir.
01
3 prinsip yang saya mahu kongsikan adalah:
1. Kita Perlu Ada Pendapatan
Langkah pertama adalah kita perlu mempunyai sumber pendapatan terlebih dahulu.
Sama ada pendapatan tersebut datang dari duit gaji, bisnes sendiri atau pun pelaburan itu tidak menjadi persoalan pokok. Yang penting ada pendapatan. Islam mengajar kita agar tidak meminta-meminta dan menjadi pengemis tetapi Islam menyuruh kita berusaha bersungguh-sungguh mencari pendapatan dengan cara yang betul.
Kita tidak perlu berdebat sama ada makan gaji lebih baik atau buat bisnes. Ia tidak memberikan banyak manfaat. Ada orang lebih berbakat menguruskan bisnes orang lain (makan gaji), ada orang lebih berbakat menjadi pentadbir sektor awam, dan ada orang yang lebih berbakat menguruskan bisnes sendiri.
Apa yang penting adalah apa yang kita buat dengan pendapatan kita.
2. Simpan Dahulu, Kemudian Baru Belanja
Selepas memperoleh pendapatan adalah kita menyimpan sebahagian besar gaji terlebih dahulu.
Simpan bermula dari 10%, 15% atau 30% daripada gaji bersih. Lebih tinggi lebih bagus. Jika belum mampu simpan sehingga 10% pendapatan setiap bulan, maka mulakan menyimpan walaupun cuma RM 50 sebulan.
Langkah ini adalah wajib dari sudut hukum pengurusan kewangan. Sekiranya kita tidak menyimpan maka kita tidak dapat melabur. Jika kita tidak melabur, maka pendapatan kita tidak dapat berkembang dengan sendirinya.
Menyimpan memerlukan disiplin. Sekiranya kita tidak dapat mendisiplinkan diri untuk membuat simpanan tetap maka jangan fikir kita dapat melabur dengan baik. Disiplin dalam pelaburan adalah jauh lebih ketat berbanding disiplin dalam menyimpan.
3. Ubah Gaji Jadi Harta
Orang yang mempunyai pendapatan RM 10,000 sebulan belum tentu dia “berduit” dan orang yang cuma berpendapatan RM 3,000 sebulan boleh jadi seorang yang lebih “berduit.”
Kenapa?
Orang yang menyimpan, walaupun gajinya kecil akhirnya mempunyai lebih banyak harta berbanding orang yang bergaji besar tetapi boros membeli simbol-simbol kemewahan.
Ingat lagi perbezaan Amir dan Man yang telah kongsikan tadi? Iaitu Amir yang mula menyimpan RM 100 sebulan pada usia 25 tahun berbanding Man, hanya bermula pada usia 35 tahun.
Amir, pada usia 35 tahun telah mempunyai sekitar RM 18,774.58 manakala Man masih RM 0.
Manakala, menginjak usia 55 tahun, Amir telah mempunyai simpanan sebanyak RM 146,815.04 manakala Man cuma ada RM 59,307.51 sahaja.
Pertama, sekiranya Man memikirkan untuk menunggu mendapat gaji RM 10,000 pada usia 35 tahun baru untuk mula menyimpan, maka dia perlu menyimpan sebanyak RM 250 sebulan selama 20 tahun untuk mendapat jumlah yang hampir sama dengan Amir pada usia mereka 55 tahun. Sedangkan Amir kekal menyimpan RM 100 sebulan sehingga usia 55 tahun.
Kedua, realitinya jika kita menjadi seperti Amir, pada usia 35 tahun dengan modal tunai lebih dari RM 15,000 sudah tentu kita telah memulakan pelaburan lain yang dapat memberikan pulangan yang lebih dari 8% setahun. Ketika ini Amir telah dapat melangkah dengan lebih jauh berbanding Man.
Ketiga, jika pada usia 25 tahun dengan gaji seorang graduan muda pun dah mampu menyimpan RM 100 sebulan secara berdisiplin apakah kita tidak dapat meningkatkan jumlah simpanan kita dari masa ke masa sejajar dengan kenaikan gaji dan bonus yang diterima?
Itulah maksud graf yang saya kongsikan dengan tuan pada awal bab ini menunjukkan perbezaan mereka yang telah menguruskan wang dan mereka yang belum menguruskan wang. Apabila sampai masa yang betul, Amir mempunyai modal yang mencukupi untuk memecut laju manakala Man baru mula merangkak.
Manakala, mereka yang mampu menyimpan lebih banyak, misalnya RM 250 sebulan, hasilnya selepas 20 tahun:
ROI 5%: 104,157.76
ROI 8%: 148,268.76
Jika, menyimpan RM 500 sebulan pula, selepas 20 tahun:
ROI 5%: 208,315.51
ROI 8%: 296,537.53
"Tapi saya tidak ada duit lah nak simpan,"
Jangan beri alasan dulu, lihat balik pakai belanja kita.
Misalnya, kita mampu bayar bil Astro Superpack RM 144 sebulan, setahun sudah bayar RM 1728. 10 tahun pakai, sudah bayar RM 17,280. Namun, dengan jumlah yang sama, jika kita simpan, hasilnya selepas 10 tahun:
ROI 5%: 22,821.33
ROI 8%: 27,035.40
Itu baru satu cara.
Ada banyak lagi taktik untuk mempunyai simpanan, memperoleh pendapatan sampingan dan juga cara-cara melangsaikan hutang dengan lebih cepat.

Kenapa Kita Perlu Jadi Kaya? by Suzardi Maulan

Kenapa Kita Perlu Jadi Kaya?

Kekayaan bukanlah diukur dengan banyaknya harta. 
Namun  kekayaan adalah hati yang selalu merasa cukup.” 
(Hadis direkodkan oleh Imam Bukhari)
Kenapa perlu jadi kaya?
Itulah soalan yang mesti kita jawab.
Makna Kekayaan
Apakah erti kekayaan kepada kita?
Ada yang mendefinisikan kekayaan seperti ada kereta besar, rumah besar, pakaian berjenama.
Namun itu semua sebenarnya bukan kekayaan. Apa yang disebut itu cuma simbol-simbol kemewahan sahaja. Sekiranya kita hanya mengumpulkan simbol maka dalam hati kita pasti tidak merasa puas dan cukup. Kekayaan tidak terletak pada simbol.
Kita Perlu Menjadi Kaya
Dalam al-Quran, perkataan zakat disebut 32 kali.
Manakala, sebanyak 26 kali daripadanya digandingkan dengan perkataan solat.
Perkataan sedekah pula disebut sebanyak 12 kali.
Ya, Islam suruh kita ada harta untuk bayar zakat banyak-banyak. Maka janganlah rasa bersalah mencari harta sebab dengannya kita dapat berzakat dan memperbanyakkan sedekah. Kita memang perlu bayar zakat. Dan hanya orang kaya yang bayar zakat.
Padam dari akal fikiran kita, kefahaman seperti 'menjadi orang kaya dan berharta itu salah dan berdosa'. Yang salah & berdosa itu jika kita mencari harta dengan cara yang salah, makan harta yang haram, atau apabila sudah berharta tidak mahu bayar zakat dan bersedekah.
Hari-hari kita bersolat 5 waktu. Dan 26 kali ayat solat dalam al-Quran digandingkan dengan zakat. Justeru, perkara ini mempunyai mesej yang besar untuk kita.
Orang Kaya Berasa Cukup
Kekayaan juga perlu memberi maksud yang lebih besar dan bermakna dalam hidup kita.
Seperti mempunyai keluarga yang bahagia, mampu berhenti kerja makan gaji sebelum usia 50 tahun, dapat menjadi sukarelawan dalam bidang yang kita suka dan seterusnya.
Simbol-simbol kekayaan itu cuma sepatutnya menjadi alat untuk mencapai kekayaan yang sebenar iaitu apa yang menyebabkan hidup kita menjadi cukup. Apa yang menyebabkan hati kita berasa seronok. Sesuatu yang kita tidak dapat beli dengan wang tunai malah emas sekalipun.
  • Apakah makna duit yang kita kumpul itu sekiranya tiada ahli keluarga dan rakan-rakan yang mahu menemankan kita mengelilingi dunia mahupun menikmati secawan kopi?
  • Apakah makna koleksi kereta yang kita miliki sedangkan kita sakit dan terlantar di atas katil?
  • Apakah erti banglo yang besar sekiranya ianya kosong dan senyap sunyi dari aktiviti yang merapatkan silaturrahim sesama keluarga dan ukhuwwah sesama jiran tetangga?
Untuk berasa cukup, dari semua gaji dan hasil pelaburan, kita ambil sedikit untuk perbelanjaan yang perlu dan banyakkan berzakat, berwakaf dan memberi sedekah.
Orang Kaya Dapat Memilih Cara Hidup Sendiri
Bagi saya kekayaan juga adalah masa yang dapat dimanfaatkan bersama keluarga.
Tidak ditentukan oleh sesiapa. Saya sendiri yang menentukan apa yang saya patut buat.
Justeru saya mahukan banyak masa terluang bersama orang-orang yang saya sayang. Saya mahu berada di sisi mereka pada saat-saat yang penting, umpamanya ketika almarhumah emak saya sakit tenat saya dapat menjaga beliau sehingga akhir hayat, ketika isteri mahu melahirkan anak saya dapat berada di sisi beliau dan ketika anak-anak mempunyai acara penting di sekolah saya ada bersama mereka. Alat-alat kekayaan adalah untuk membantu saya mencapai kekayaan tersebut.
Justeru saya memerlukan alat-alat tertentu seperti:
  • Pekerjaan dengan jadual kerja fleksibel.
  • Bisnes & pelaburan yang dapat memberikan pendapatan pasif.
  • Aset yang dapat saya jual untuk membeli masa berkualiti dengan keluarga seperti melancong.
Erti kekayaan bagi saya pasti berbeza dengan erti kekayaan tuan.
Ya, walaupun kita sama-sama membeli saham misalnya, ia cuma satu cara untuk mencapai kekayaan yang masing-masing mahukan. Pesan Nabi Muhammad saw:
“Seandainya manusia diberi lembah penuh dengan emas, maka dia masih mahu lembah yang kedua yang penuh dengan emas. Jika diberi lembah kedua, dia masih mahu lembah ketiga. Perut manusia tidak akan penuh melainkan dengan tanah. Allah tentu menerima taubat bagi siapa saja yang bertaubat.
(Hadis direkodkan oleh Imam Bukhari)
Sebagai manusia kita tidak akan berasa puas mengumpul harta. Sudah ada RM 1 juta, mahu kumpul RM 10 juta pula. Dan jika duit tersebut tidak digunakan pada jalan yang betul ia tak dapat membantu diri kita semula di hari akhirat kelak. Sedangkan harta yang kita sedekah, yang kita wakafkan dapat membantu kita di sana.
Kita sering mendengar berita kematian selebriti antarabangsa yang terkenal, kaya raya dan boleh dikatakan memiliki segala ‘alat-alat’ kekayaan namun akhirnya terlibat dengan gejala dadah atau mati membunuh diri. Sedangkan secara logik akal manusia, mereka telah menikmati segala nikmat dunia namun kehidupan mereka tidak gembira. Mereka tidak berjumpa dengan apa sebenarnya yang hati mereka mahukan.
Orang Kaya Adalah Orang Yang Mampu Memilih
Orang kaya tidak terbatas dengan duit dalam dompet.
Kita mempunyai pelbagai pilihan tanpa dibatasi banyak perkara.
Jadi apa yang sebenarnya hati kecil kita mahu...
  • Bebas hutang?
  • Mendirikan rumah anak yatim?
  • Membantu penyelidikan kanser?
  • Mengelilingi dunia?
  • Menjadi sukarelawan?
  • Mempunyai yayasan sendiri?
  • Memberikan pendidikan tertinggi kepada anak-anak tanpa bantuan wang ringgit orang lain seperti PTPTN, kerajaan dan peluang biasiswa?
Dalam Islam harta hanya pasti menjadi milik kita sekiranya kita memberi sedekah, zakat dan wakaf. Walaupun harta tersebut nampak ‘berkurangan’ tetapi sebenarnya ia bertambah dan sudah pasti menjadi milik kita. Walaupun ikhlas paling utama, adakah kita berpuas hati hanya mampu bersedekah sebanyak RM 10 berbanding RM 10,000 ?
Ya, ada 1001 matlamat yang dapat kita fikirkan. Carilah matlamat hidup yang memberikan kepuasan dalam hidup kita. Bukan semua perkara dapat dibeli dengan duit, namun tanpa duit juga, banyak perkara yang tidak dapat kita capai.